Sunday, June 22, 2008

Kepemimpinan adalah taklif bukan tasyrif

Umum menyedari iklim politik di negara kita seolah-olah berada dalam suasana yang penuh dengan ketidakpastian. Fenomena seperti ini tentulah merimaskan dan mencetuskan perasaan kurang senang rakyat yang pasti mendambakan sesuatu yang lebih bermakna daripada para pemimpin yang dipilih mereka melalui pilihan raya lalu. Pada ketika rakyat sedang berhadapan dengan realiti peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing, para pemimpin parti tampak lebih sibuk mencatur soal kuasa dan takhta.
Semuanya ini hanya kerana kegelojohan dan kerakusan sesetengah pimpinan politik negara yang lebih memperhitungkan soal kuasa dan nafsu untuk menjadi pemimpin. Sememangnya kuasa yang secara fitrahnya berkait rapat dengan kepimpinan adalah isu yang cukup penting untuk dibicarakan setulusnya agar natijah yang lahir daripadanya bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi yang lebih utama kepada masyarakat keseluruhannya.
Sama ada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya sedang mengalami krisis pemikiran dan pendangkalan persepsi terhadap makna kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa pasti ramai yang secara sepontan menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan disanjungi masyarakat.
Malah tidak kurang yang melihatnya sebagai lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu. Akibat kedangkalan persepsi inilah kita dapati manusia bagaikan paranoid dan hilang kewarasan apabila membicarakan mengenai kuasa. Manusia seolah-olah hilang pertimbangan rasional apabila kuasa menjadi matlamat hidup, bahkan dipertuhankan sehingga tergamak menggadai prinsip dan nilai-nilai agama. Soal keberkatan harta dan halal-haram perolehan tidak lagi diperhitungkan. Semuanya kerana dikaburi dengan fatamorgana kuasa yang begitu menghayalkan. Akhirnya kuasa dan kepemimpinan tidak lagi difahami sebagai amanah dan tanggungjawab (taklif) sebaliknya satu bentuk kemuliaan (tasyrif).
Kita sebenarnya lupa atau buat-buat lupa bahawa kuasa merupakan amanah Allah atau taklif iaitu beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan pada hari akhirat kelak. Sebab itulah sebagai amanah keagamaan, kegagalan menunaikan amanah kepimpinan boleh menatijahkan risiko hukuman ukhrawi yang berat.

Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari berkenaan dengan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!
Dalam tradisi kepimpinan Islam, taklif atau beban tanggungjawab kepimpinan ini sememangnya amat berat dan cukup kudus. Sebab itulah posisi kepimpinan tidak diminta-minta atau diperebutkan. Malah Rasulullah sendiri tidak pernah memberi posisi kepimpinan kepada yang meminta.
Apa yang pasti, kuasa bukannya suatu bentuk tasyrif (pangkat kebesaran) yang boleh diperdagangkan bagi tujuan kemegahan dan meraih populariti. Kuasa juga bukannya lesen yang menghalalkan segala bentuk rasuah, adu-domba dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Lebih menyedihkan jika kuasa berterusan menjadikan umat bergelumang dengan penyakit hasad-dengki dan benci-membenci sehingga terhakisnya kekuatan jatidiri.Dengan memahami hakikat kuasa dan makna kepemimpinan berpandukan seluruh agama yang benar sahajalah yang mampu mengangkat martabat dan mengembalikan maruah para pemimpin hari ini. Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna kiranya masih tersisa di dlama kotak pemikiran kita sikap mementingkan diri sendiri lantaran begitu taksub hendak berkuasa higga tercabut semangat perjuangan yang sebenar.

- dipetik dan diolah dari rencana Utusan Malaysia.

Sunday, June 8, 2008

Perpaduan Melayu terendah

KUALA LUMPUR 7 Jun – Perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keba- nyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Malah, katanya, sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.

Thursday, June 5, 2008

Minyak Naik : Naik Minyak

Semalam seluruh Malaysia telah dikejutkan dengan satu fenomena kenderaan berbaris panjang untuk masing-masing memenuhkan tangki minyak kenderaan mereka rentetan daripada kenaikan harga minyak yang akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam tadi. Masing-masing berebut untuk mendapatkan minyak pada harga lama sebelum ia dinaikkan tanpa mengira kesesakan lalulintas yang berlaku ekoran tindakan mereka dan pada masa yang sama ia menyebabkan pengguna yang benar-benar memerlukan petrol ketika itu terkandas di dalam barisan pengguna yang sibuk memenuhkan tangki mereka.
Mulai jam 12 malam tadi, harga baru petrol telah dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada 2.70 sen seliter dan diesel dinaikkan sebanyak RM1.00 kepada RM2.58. Tidak cukup dengan bebanan itu, kerajaan sejurus selepas itu mengumumkan lagi kenaikan harga elektrik jika penggunaannya melebihi RM43. Tersuratnya seperti kerajaan tidak menaikkan terus harga elektrik bagi mengurangkan bebanan dan memastikan 'win-win situation', tetapi apa yang tersirat hakikatnya secara purata bil penggunaan elektrik bagi rumah keluarga pasti melebihi RM43 dan secara tidak langsung hampir semua rakyat akan merasai bebanan kenaikan harga elektrik. Itu belum dikira lagi kenaikan harga barang-barang keperluan lain yang juga akan dinaikkan oleh peniaga ekoran kenaikkan harga minyak. Rakyat bagai jatuh ditimpa tangga.
Bagi kerajaan, inilah kaedah terbaik yang difikirkan untuk mengurangkan bebanan kerajaan dalam pemberian subsidi minyak lantaran kenaikan harga pasaran minyak dunia. Kaedah terbaik itu adalah dengan memindahkan bebanan kerajaan tersebut kepada pengguna. Sebagai mengawal kemarahan rakyat, rebet tunai sebanyak RM625 diberikan kepada pengguna kenderaan kurang 2000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal. Wajarkah?
Saya merasakan keputusan itu tidak berapa wajar. Ternyata ada baik dan ada buruknya. Kesan baiknya bebanan kerajaan akan berkurangan dan pembangunan boleh diperbanyakkan ekoran penjimatan sebanyak hampir RM13 billion dalam subsidi minyak dan pengguna dari negara jiran tidak lagi boleh merasakan subsidi yang sebenarnya hanya diberikan untuk rakyat Malaysia. Di sebalik kebaikan itu, ada beberapa kesan negatif antaranya:
1. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak di saat rakyat kurang keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah mungkin boleh melemahkan lagi keyakinan rakyat sekaligus akan melemahkan kerajaan. Ditambah pula dengan kebijaksanaan parti pembangkang menangguk di air keruh yang akan memainkan isu ini dan akan menjadi pembela nasib rakyat bagi menawan hati rakyat.
2. Rakyat akan bertambah tertekan dengan bebanan kenaikan harga minyak dan seterusnya kenaikan harga komoditi lain yang pastinya akan naik. Kebencian rakyat terhadap kerajaan akan meningkat kerana rakyat melihat kerajaan seperti tiada inisiatif lain selain memindahkan bebanan kerajaan itu kepada rakyat. Seharusnya kerajaan membela nasib rakyat.
3. Mekanisme yang digunakan iaitu rebet tunai yang dikeluarkan melalui pejabat pos juga akan menyusahkan rakyat.
Ada beberapa pendapat berhubung isu kenaikan harga minyak ini yang ingin saya kongsikan di sini. Antaranya:
1. Kenaikkan harga minyak ini berlaku disebabkan kenaikan harga pasaran minyak dunia yang meningkat. Bukankah Malaysia adalah salah satu negara pengeluar minyak dunia dan pendapatan negara yang digunakan untuk memberi subsidi minyak datangnya dari keuntungan tersebut. Jika harga minyak dunia naik, kita sebagai pengeluar minyak juga akan menjual pada harga tinggi sekaligus mendapat keuntungan seperti sebelumnya malah mungkin berlipat kali ganda kerana kenaikan harga minyak ini berlaku bukan disebabkan kenaikan kos pengeluarannya tetapi disebabkan kebimbangan dunia terhadap jumlah bekalan yang berkurangan . Jadi, dari segi kewangan seharusnya tidak timbul bebanan kerajaan bagi pemberian subsidi minyak meningkat kerana pada masa sama kita juga menjual minyak pada harga tinggi.
2. Kerajaan menjelaskan kesan daripada penstrukturan semula pemberian subsidi minyak ini dapat menjimatkan hampir RM13 billion dan penjimatan itu boleh disalurkan untuk pembangunan negara. Persoalannya, dari segi pembangunan adakah semua rakyat akan merasa?Rasanya tidak kerana pembangunan lebih tertumpu di bandar-bandar besar dan bagi penduduk luar bandar, ini tidak adil. Tetapi jika ia digunakan untuk pemberian subsidi minyak, semua rakyat di negara ini akan merasa.
3. Ada juga yang mengatakan kenaikan ini berlaku juga disebabkan kerajaan tidak lagi mampu menampung pemberian subsidi akibat dari perlaksanaan projek-projek mega yang belum atau tidak langsung mendatangkan hasil kepada kerajaan apatah lagi kepada rakyat.
Saya tidak mengatakan pembangunan tidak penting, tetapi pada masa ini, di saat-saat harga minyak melambung tinggi, apa yang lebih penting adalah kebajikan rakyat. Mungkin pembangunan boleh dikurangkan dahulu dan penjimatan dari situ digunakan untuk membantu rakyat menangani masalah kenaikan harga minyak dunia. Bukannya menjimatkan subsidi minyak untuk meneruskan pembangunan tanpa menghiraukan bebanan rakyat. Saya juga tidak secara menyeluruh menyalahkan kerajaan. Mungkin ini adalah salah satu langkah yang diambil untuk menangani kebocoron subsidi minyak kepada rakyat asing terutamanya penyeludupan minyak yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menjual minyak bersubsidi ke luar negara. Tetapi kerajaan seharusnya memikirkan mekanisme lain yang lebih bijak jika ingin menangani masalah ini kerana dengan mengurangkan subsidi itu lebih membebankan rakyat. Mungkin harga minyak boleh dinaikkan tetapi wujudkan satu skim subsidi yang hanya boleh diperolehi rakyat negara ini sahaja.
Kesimpulannya, kenaikan harga minyak sebanyak hampir 40% ini jelas membebankan rakyat dan hampir kesemua rakyat mengeluh dan keluhan yang lebih kuat kedengaran dari mereka yang berpendapatan rendah kerana selepas ini harga barang-barang lain akan naik. Tetapi sebagai rakyat kita kena akur dengan keputusan pemimpin kita dan langkah terbaik bagi kita adalah dengan menjimatkan lagi perbelanjaan kita yang sememangnya telah jimat. Saya tertarik dengan kata-kata penulis buku 'Cara Bisnes Orang Cina', Ann Wan Seng di MHI pagi ini iaitu "untuk mendapatkan keselesaan, kita kene berbelanja lebih".

p/s : Pemimpin yang bijak akan melahirkan keputusan yang bijak untuk rakyat.

Tuesday, May 13, 2008

Bersatu demi Melayu?

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL(WARTAWAN UTUSAN)
SUDAH terlalu banyak kekalutan dalam landskap politik negara yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 lalu diperdebatkan dalam nada yang agak pedih serta menyentak nilai sedar terutamanya di kalangan orang Melayu.
Senario politik yang masih lagi hangat itu sebenarnya menjurus kepada satu hakikat yang pasti, bahawa orang Melayu kini terpisah oleh jurang politik yang semakin melebar luas.
Jika dulu, kiblat politik orang Melayu hanya terarah kepada UMNO dan Pas, kini Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula muncul menjadi parti yang lebih kuat.
Biarpun perjuangan ketiga-tiga parti itu secara dasarnya adalah untuk memperkasakan orang Melayu, namun ideologi dan roh perjuangan yang membezakan parti tersebut sangat jelas.
UMNO dengan perjuangan bangsanya, Pas dengan negara Islamnya dan PKR pula dengan ketuanan rakyatnya. Jalan yang selamanya bercabang tiga ini tidak mungkin akan membawa Melayu kepada satu titik yang bertemu.
Akibatnya, bangsa Melayu akan terus berpecah dan dalam keadaan seperti itu, perbezaan biarpun sangat kecil tidak mungkin menyaksikan orang Melayu berganding bahu dalam mempertahankan hak mereka.
Barangkali sudah tiba masanya untuk semua pemimpin politik Melayu bersama-sama memikirkan mengenai survival orang Melayu dengan mengambil pendekatan merentasi sempadan politik yang selama ini menjadi pemisah kepada penyatuan bangsa.
Adalah sesuatu yang menyedihkan apabila kebanyakan isu yang berkaitan dengan kelemahan orang Melayu dipolitikkan.
Lalu apabila tiga pemimpin muda iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub bersetuju untuk membentuk gagasan permuafakatan Melayu dalam satu pertemuan tidak rasmi baru-baru ini, ia sudah cukup memberikan harapan kepada penyatuan bangsa dalam sudut yang lebih bermakna pada masa depan.
Gagasan permuafakatan Melayu seperti yang dijelaskan oleh Mohamad Norza, merupakan satu usaha merentasi sempadan politik untuk membincangkan isu-isu penting melibatkan orang Melayu terutamanya berkaitan isu ekonomi, pendidikan dan agama.
Ia tercetus atas kesedaran bahawa perlunya tindakan waima yang sangat kecil sekalipun untuk membentuk gagasan bagi menyatukan orang Melayu terutamanya generasi muda di bawah satu bumbung yang sama.
Lebih daripada itu jelas beliau, gagasan tersebut pada akhirnya menyimpan aspirasi pada satu hari nanti berjaya diinstitusikan menjadi sebuah pertubuhan yang dengan serius membincangkan isu-isu berkaitan orang Melayu dengan membawa pendekatan secara bersama.
Keperluan utama gagasan itu pastinya sangat jelas, iaitu untuk membawa politik negara ke satu dimensi baru dengan tanggapan bahawa ada isu-isu tertentu yang tidak seharusnya dipolitikkan tetapi perlu ditangani sebagai penyakit atau masalah orang Melayu.
Evolusi politik orang Melayu itu perlu dimulakan dari sekarang kerana ramai orang Melayu tidak faham tuntutan dan hak orang Melayu ketika ini dan proses penjelasan itu pula perlu dilakukan secara semula jadi.
Dalam perpecahan, orang Melayu tidak mungkin mampu untuk memulakan satu gerakan massa yang lebih bermaruah buat bangsa dan selamanya akan ketinggalan dibayangi isu-isu yang menjadi pertikaian sesama sendiri.
Dalam pendekatan yang disebut sebagai satu kematangan politik baru itu juga, gagasan permuafakatan Melayu tidak perlu terjun kepada isu-isu yang besar atau sensitif yang boleh mengeruhkan kejernihan muafakat yang sedia terbina.
Sebaliknya memadai dengan mengenal pasti kemampuan dan kekuatan ketiga-tiga parti untuk bekerjasama pada peringkat awal.
Sebagai contoh ujar Mohamad Norza, ketiga-tiga parti boleh menubuhkan satu badan penyelidikan bagi mengkaji dan menilai sejauh mana pencapaian orang Melayu dalam pelbagai bidang di negara ini.
Namun beliau menegaskan, pembentukan gagasan permuafakatan Melayu itu tidak seharusnya dipandang sebagai satu pergerakan bersifat perkauman yang boleh mengganggu gugat perpaduan yang dipertahankan bersama oleh semua kaum selama ini.
Ia sebaliknya dibina mengikut kerangka negara Malaysia yang tiang serinya ditegakkan oleh rakyat pelbagai kaum dan atapnya pula memayungi kesaksamaan bangsa.
Kepentingan''Isu-isu yang dibincangkan tidak lebih daripada melibatkan kepentingan orang Melayu justeru tidak sewajarnya dilihat sebagai ancaman kepada survival kaum lain," katanya.
Ketika ditanya adakah gagasan permuafakatan Melayu itu adalah satu langkah awal yang bakal menyatukan Melayu di bawah satu payung parti politik yang sama satu hari nanti, Mohamad Norza berkata, tidak salah untuk menaruh harapan walaupun usaha itu dirintangi pelbagai halangan terutamanya perbezaan ideologi dan pendirian.
Namun katanya, gagasan permuafakatan Melayu itu boleh menjadi langkah yang kecil kepada satu matlamat dengan perjuangan yang akhirnya menyaksikan semua yang bernama Melayu bergandingan memperkasakan bangsa.
''Inilah sebenarnya cabaran yang perlu ditangani supaya generasi akan datang membesar dan diasuh minda mereka dengan kematangan politik yang berbeza iaitu politik yang lebih rasional," katanya.
Sementara itu, Azmin ketika diminta pandangan mengenai pendirian PKR berkata, parti itu sentiasa menyokong sebarang langkah positif ke arah memartabatkan kedudukan orang Melayu seperti yang menjadi teras dalam idea pembentukan gagasan tersebut.
PKR jelas Azmin, sentiasa mempertahankan kepentingan orang Melayu namun dalam masa yang sama tetap menghormati kaum lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun dalam menyatakan sokongan itu, Azmin melahirkan kebimbangan bahawa pendekatan baru menerusi gagasan itu hanya merupakan sandiwara sesetengah daripada ahli UMNO yang sudah kehilangan kuasa.
''Setakat apa yang difahamkan, agenda pembentukan gagasan permuafakatan Melayu ini dipelopori oleh UMNO sedangkan PKR tidak melihat keberkesanannya sekiranya ia dipimpin oleh orang UMNO.
''Ini kerana orang Melayu sudah hilang keyakinannya kepada pemimpin UMNO yang lebih berniat kepada sandiwara politik berbanding usaha untuk menyelamatkan Melayu," katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai pendekatan tersendiri PKR dalam membincangkan permasalahan mengenai orang Melayu, antaranya menerusi perbincangan dengan pelbagai pihak seperti Pas dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Maklum balas yang dikumpulkan daripada perbincangan itu katanya, membolehkan PKR menggubal pendekatan baru yang lebih efektif dalam membantu orang Melayu mendapat tempat dalam pelbagai sektor di negara ini.
Reaksi positif turut diterima daripada Salahuddin yang ketika diminta menyatakan pendiriannya berkata, polemik yang berlaku dalam masyarakat Melayu hari ini memerlukan satu usaha positif seperti pembentukan gagasan permuafakatan yang dicadangkan tersebut.
Untuk itu katanya, Pas sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar, memberikan pandangan dan komitmen sekiranya diminta oleh mana-mana pihak selagi ia berteraskan membela nasib orang Melayu.
Bagaimanapun beliau menambah, pertemuan dengan Mohamad Norza tempoh hari bukanlah perbincangan secara rasmi dan sebarang tindakan lanjut mengenainya juga belum diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

Wednesday, May 7, 2008

Karpal pertikai Sultan kita

Saya tertarik dengan artikel yang disiarkan di muka depan Utusan,6 Mei 2008. Ingin saya kongsikan di sini.

KUALA LUMPUR 5 Mei-Pengerusi DAP, Karpal Singh terus mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menetri Besar menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury, yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Sambil mengingatkan Istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja, Karpal menekankan bahawa "rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal."

"Sultan dan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat pihak eksekutif (kerajaan). Sultan Perak tidak ada hak di bawah undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri menukar Jamry sebagai Pengarah JAIP,"katanya pada sidang akhbar di Parlimen yang turut dihadiri anaknya, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Ahli Parlimen bukit Gelugor itu memetik kes Mahkamah Persekutuan pada 1982, yang menurutnya jelas menunjukkan urusan membabitkan kakitangan awam sama ada patut dipindahkan dan ke mana hendak dipindahkan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

"Sultan Perak sendiri pernah jadi Ketua Hakim Negara, takkan tidak sedar kes ini,"kata Karpal.

Dalam hal ini, Karpal berpendapat kerajaan negeri Perak tidak sepatutnya 'tunduk' kepada tekanan pihak istana.

"Maslahnya Menteri Besar Perak (Datuk Ir.Mohammad Nizar Jamaluddin) sudah meminta maaf kepada sultan. Kerajaan negeri tidak sepatutnya dipengaruhi pihak istana.

"Arahan Sultan Perak supaya Jamry patut dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang. Jamry patut ditukar seperti keputusan awal kerajaan negeri. (Mohammad) Nizar tidak perlu minta maaf.. tiada apa yang salah,"katanya.

Karpal turut menggesa Kerajaan Pusat memastikan Sultan dilarang daripada campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri agar apa yang berlaku di Perak tidak menjadi ikutan negeri-negeri beraja yang lain.

Menurutnya, walaupun sultan merupakan ketua agamaIslam tetapi perlantikan kakitangan awam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

-Pandangan saya, terlalu keterlaluan tindakan pengerusi DAP ini kerana pertamanya 'dia' mempertikaikan dan mengingkari titah Sultan. Kedua, dia mengarahkan supaya Menteri Besar Perak tidak perlu meminta maaf kepada sultan Perak. Saya puji tindakan Menteri Besar Perak yang memohon maaf kepada sultan Perak kerana beliau sedar beliau seorang Melayu dan seharusnya memohon maaf kepada sultan. Tetapi menagapa Karpal berkata sepatutnya MB Perak tidak perlu meminta maaf? Tidakkah kurang ajar dan biadap? Ketiga, siapa dia sehinggakan masuk campur urusan agama Islam dan lebih biadap lagi dia mempersoalkan arahan ketua agama Islam negeri tersebut.

Apa yang saya boleh katakan, dia sangat kurang ajar kepada orang Melayu dan agama Islam khasnya dan semestinya dia ada agenda tersendiri sehinggakan berani melakukan sebegini. Mungkinkah dia ingin memperlekehkan ketuanan Melayu dan menidakkan pemerintahan sultan serta menjadikan urusan agama kita satu permainan??Fikir-fikirkanlah.

p/s: Alhamdulillah, segolongan pemuda Melayu telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Karpal Singh dan ia disiasat di atas sebab kenyataan tersebut berunsurkan hasutan di mana ia telah menimbulkan satu polemik serta keresahan dalam kalangan rakyat atas bidang kuasa raja ke atas agama dan istiadat Melayu di negeri ini.

Masih ada yang sayang

Alhamdulillah..ku panjatkan kesyukuran kepada pemilik alam ini, Allah s.w.t..

Saya bersyukur kerana setelah beberapa hari blog ini disiapkan, saya telah menerima berbagai respon dan pandangan yang sangat positif daripada rakan-rakan kita yang telah melawat blog ini. Rata-rata, mereka bersemangat untuk memberi sokongan dan sama-sama menjayakan misi blog ini untuk memperkasakan Melayu. Ternyata masih ramai lagi di luar sana yang terus-menerus memikirkan nasib bangsa Melayu dan lebih membanggakan lagi mereka ini terdiri daripada golongan muda. Siapa kata orang muda lupa akan bangsa dan tidak memikirkan nasib bangsa? Kami juga sayangkan Melayu. Jutaan terima kasih sebagai penghargaan saya ucapkan kepada mereka.

Apa yang saya harapkan jika anda semua mempunyai pandangan dan nasihat yang ingin dikongsikan, bolehlah dihantar kepada saya melalui email melayukitahebat@gmail.com agar dapat saya siarkan. Sertakan bersama nama anda dan apa-apa yang berkaitan agar dapat saya sertakan sekali di dalam artikel berkenaan. Saya juga berharap agar artikel-artikel yang telah disiarkan mendapat sedikit komen dari anda semua.

Sekali lagi, terima kasih kerana masih ada yang sayang..HIDUP MELAYU HEBAT!!!

Monday, May 5, 2008

Survival Melayu Tergugat

Pilihan Raya ke-12 baru-baru ini mempunyai seribu erti sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura 43 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung tertindas tanpa disedari.

Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai lagi ketuanan bangsa melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.

Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula.

Saya percaya dalam tempoh akan datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa kita sekarang sedikit sebanyak sudah kehilangan kuasa politik, peristiwa yang sama juga tidak mustahil akan berlaku dan menular ke atas negeri-negeri kita yang lain.

Jika kita orang Melayu tidak berhati-hati dan tidak sedar-sedar juga, saya yakin Pulau Pinang bakal menjadi Singapura kedua. Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru juga sudah pun menyebut Pulau Pinang sebagai Penang sejurus kemenangannya.

Jika kita selami secara mendalam perkara ini, sebenarnya itulah nasib bangsa Melayu di Pulau Pinang pada masa akan datang.

Tidakkah kita belajar pengalaman di Palestin, bahawa pada tahun 1947 Israel hanya menduduki kurang 10 peratus tanah orang-orang palestin, tetapi pada tahun 2000, 80 peratus tanah orang Palestin sudah pun dikuasai oleh bangsa Israel. Dikelilingi Semenanjung Gaza, dipasang tembok dan pagar berduri menyebabkan kebebasan hak asasi umat Islam Palestin terikat. Elektrik dicatu, hendak solat Jumaat berdepan dengan muncung senjata malah keperluan makanan dan pakaian menjadi amat sukar.

Sebab itulah orang-orang Melayu perlu sedar dan bangun dari tidur dengan kesilapan memberi undi kepada pihak DAP. Mungkin ada pihak berkata kenyataan ini berbau perkauman, tetapi kita tidak sedar kain rentang parti DAP menyatakan "Undi MCA bermakna Undi UMNO/Melayu", atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis "Undilah calon-calon Cina sahaja". Terperanjat?Inilah realitinya.

Kita orang Melayu terlalu bertolak-ansur dan terlalu berlembut sehingga kempen-kempen seperti di atas walaupun berbau perkauman tetapi tidak ada tindakan diambil.

Apabila kita pula orang Melayu menyatakan perkara yang sama, kita pula dituduh sebagai memainkan api perkauman sedangkan semua itu permainan mereka untuk menjatuhkan kita orang Melayu.

Apabila mereka memainkan isu hak ketuanan bangsa Melayu dan umat Islam, pernahkah mereka memikirkan perasaan kita umat Islam. Mereka tidak pernah peduli apa itu OSA, ISA, ataupun Akta Hasutan sebab itu akhbar mereka bebas dan berani.

'Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari surat pembaca di ruangan Forum Utusan Malaysia, 11 Mac 2008. Ia diubahsuai agar tidak berat sebelah di dalam unsur politik dan bertujuan untuk memperkasakan Melayu.Melayu kita hebat'.

Penguasaan ekonomi mengikut kaum

Saya ada terbaca satu artikel di dalam Utusan, 9 April 2008 yang bertajuk Muzakarah Semangat DEB tulisan Mohd Khuzairi Ismail,wartawan utusan. Apa yang menarik perhatian saya adalah di dalam artikel ini disertakan sebuah fakta yang berkaitan dengan penguasaan ekonomi mengikut kaum. Saya fikir fakta ini cukup relevan untuk saya kongsikan bersama seluruh rakyat kaum melayu di negara ini supaya kita sama-sama dapat menilai di mana tahap ataupun status kita di dalam ekonomi negara kita sendiri.

Melayu tidak boleh harap parti politik sahaja

Satu artikel menarik yang telah saya baca di http://www.malaysiakini.com/news/82310

Kecewa

Selepas saya selesai menyiapkan blog ini, saya cuba mencari blog-blog melayu yang lain sebagai rujukan. Saya taip 'melayu' pada enjin pencarian dan hasilnya sangat mengecewakan. Hasilnya hampir semua pautan yang ditunjukkan adalah ke blog-blog melayu yang lucah. Ternyata ramai di luar sana yang hanya peka dan lebih meminati isu-isu sebegini. Terasa sedikit kecewa apabila saya melihat perkara sebegini berlaku pada bangsa saya. Saya harapkan agar mereka yang gemar membina blog-blog lucah mengenai melayu ini menghentikannya. Hentikanlah penyebaran gambar-gambar lucah gadis-gadis melayu terutamanya kerana ini semua langsung tidak berfaedah malah hanya akan memburukkan imej melayu. Apa yang saya lebih kesalkan adalah kerana penulis blog-blog berkenaan rata-ratanya terdiri dari orang-orang melayu kita sendiri. Tidakkah rugi kerana usaha yang dicurahkan untuk mengeluarkan isu-isu berkenaan sebenarnya tidak langsung memberi manfaat yang baik kepada mereka dan terutamanya kepada bangsa kita sendiri. Bukankah lebih baik usaha itu digunakan untuk menerbitkan isu-isu yang berkaitan pembangunan dan penambahbaikkan bangsa melayu itu sendiri. Sayangilah Melayu!!!Fikir-fikirkan...

Assalamualaikum...

Selamat datang dan terima kasih kerana sudi melawati blog ini..tujuan saya membina blog ini adalah untuk menjadikan ia sebagai satu medium untuk menyebarkan berita,menyuarakan pendapat dan pandangan,melontarkan idea dan kritikan serta memberikan nasihat agar kita sama-sama memperkasakan bangsa kita bangsa melayu.Saya berharap agar anda juga bersama-sama memberikan pandangan,kritikan,informasi dan nasihat ke arah menjadikan melayu kita hebat.