Monday, May 5, 2008

Survival Melayu Tergugat

Pilihan Raya ke-12 baru-baru ini mempunyai seribu erti sedalam-dalamnya oleh orang Melayu khususnya. Kita sudah kehilangan Singapura 43 tahun dahulu, dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung tertindas tanpa disedari.

Tidak ada kuota menteri penuh Melayu, azan tidak boleh dilaungkan di luar masjid, bahasa Melayu menjadi bahasa ketiga, orang Melayu tidak dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam tentera dan polis, mereka menuntut Pulau Batu Putih sebagai milik mereka dan pelbagai lagi ketuanan bangsa melayu yang sudah lenyap di tanah Singapura.

Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula.

Saya percaya dalam tempoh akan datang, jika orang-orang Melayu tidak juga sedar bahawa kita sekarang sedikit sebanyak sudah kehilangan kuasa politik, peristiwa yang sama juga tidak mustahil akan berlaku dan menular ke atas negeri-negeri kita yang lain.

Jika kita orang Melayu tidak berhati-hati dan tidak sedar-sedar juga, saya yakin Pulau Pinang bakal menjadi Singapura kedua. Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru juga sudah pun menyebut Pulau Pinang sebagai Penang sejurus kemenangannya.

Jika kita selami secara mendalam perkara ini, sebenarnya itulah nasib bangsa Melayu di Pulau Pinang pada masa akan datang.

Tidakkah kita belajar pengalaman di Palestin, bahawa pada tahun 1947 Israel hanya menduduki kurang 10 peratus tanah orang-orang palestin, tetapi pada tahun 2000, 80 peratus tanah orang Palestin sudah pun dikuasai oleh bangsa Israel. Dikelilingi Semenanjung Gaza, dipasang tembok dan pagar berduri menyebabkan kebebasan hak asasi umat Islam Palestin terikat. Elektrik dicatu, hendak solat Jumaat berdepan dengan muncung senjata malah keperluan makanan dan pakaian menjadi amat sukar.

Sebab itulah orang-orang Melayu perlu sedar dan bangun dari tidur dengan kesilapan memberi undi kepada pihak DAP. Mungkin ada pihak berkata kenyataan ini berbau perkauman, tetapi kita tidak sedar kain rentang parti DAP menyatakan "Undi MCA bermakna Undi UMNO/Melayu", atau dalam akhbar-akhbar berbahasa Cina mereka menulis "Undilah calon-calon Cina sahaja". Terperanjat?Inilah realitinya.

Kita orang Melayu terlalu bertolak-ansur dan terlalu berlembut sehingga kempen-kempen seperti di atas walaupun berbau perkauman tetapi tidak ada tindakan diambil.

Apabila kita pula orang Melayu menyatakan perkara yang sama, kita pula dituduh sebagai memainkan api perkauman sedangkan semua itu permainan mereka untuk menjatuhkan kita orang Melayu.

Apabila mereka memainkan isu hak ketuanan bangsa Melayu dan umat Islam, pernahkah mereka memikirkan perasaan kita umat Islam. Mereka tidak pernah peduli apa itu OSA, ISA, ataupun Akta Hasutan sebab itu akhbar mereka bebas dan berani.

'Artikel ini dipetik dan diubahsuai dari surat pembaca di ruangan Forum Utusan Malaysia, 11 Mac 2008. Ia diubahsuai agar tidak berat sebelah di dalam unsur politik dan bertujuan untuk memperkasakan Melayu.Melayu kita hebat'.

No comments: