Sunday, June 22, 2008

Kepemimpinan adalah taklif bukan tasyrif

Umum menyedari iklim politik di negara kita seolah-olah berada dalam suasana yang penuh dengan ketidakpastian. Fenomena seperti ini tentulah merimaskan dan mencetuskan perasaan kurang senang rakyat yang pasti mendambakan sesuatu yang lebih bermakna daripada para pemimpin yang dipilih mereka melalui pilihan raya lalu. Pada ketika rakyat sedang berhadapan dengan realiti peningkatan kos sara hidup yang semakin meruncing, para pemimpin parti tampak lebih sibuk mencatur soal kuasa dan takhta.
Semuanya ini hanya kerana kegelojohan dan kerakusan sesetengah pimpinan politik negara yang lebih memperhitungkan soal kuasa dan nafsu untuk menjadi pemimpin. Sememangnya kuasa yang secara fitrahnya berkait rapat dengan kepimpinan adalah isu yang cukup penting untuk dibicarakan setulusnya agar natijah yang lahir daripadanya bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi yang lebih utama kepada masyarakat keseluruhannya.
Sama ada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya sedang mengalami krisis pemikiran dan pendangkalan persepsi terhadap makna kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa pasti ramai yang secara sepontan menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan disanjungi masyarakat.
Malah tidak kurang yang melihatnya sebagai lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu. Akibat kedangkalan persepsi inilah kita dapati manusia bagaikan paranoid dan hilang kewarasan apabila membicarakan mengenai kuasa. Manusia seolah-olah hilang pertimbangan rasional apabila kuasa menjadi matlamat hidup, bahkan dipertuhankan sehingga tergamak menggadai prinsip dan nilai-nilai agama. Soal keberkatan harta dan halal-haram perolehan tidak lagi diperhitungkan. Semuanya kerana dikaburi dengan fatamorgana kuasa yang begitu menghayalkan. Akhirnya kuasa dan kepemimpinan tidak lagi difahami sebagai amanah dan tanggungjawab (taklif) sebaliknya satu bentuk kemuliaan (tasyrif).
Kita sebenarnya lupa atau buat-buat lupa bahawa kuasa merupakan amanah Allah atau taklif iaitu beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan pada hari akhirat kelak. Sebab itulah sebagai amanah keagamaan, kegagalan menunaikan amanah kepimpinan boleh menatijahkan risiko hukuman ukhrawi yang berat.

Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari berkenaan dengan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!
Dalam tradisi kepimpinan Islam, taklif atau beban tanggungjawab kepimpinan ini sememangnya amat berat dan cukup kudus. Sebab itulah posisi kepimpinan tidak diminta-minta atau diperebutkan. Malah Rasulullah sendiri tidak pernah memberi posisi kepimpinan kepada yang meminta.
Apa yang pasti, kuasa bukannya suatu bentuk tasyrif (pangkat kebesaran) yang boleh diperdagangkan bagi tujuan kemegahan dan meraih populariti. Kuasa juga bukannya lesen yang menghalalkan segala bentuk rasuah, adu-domba dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Lebih menyedihkan jika kuasa berterusan menjadikan umat bergelumang dengan penyakit hasad-dengki dan benci-membenci sehingga terhakisnya kekuatan jatidiri.Dengan memahami hakikat kuasa dan makna kepemimpinan berpandukan seluruh agama yang benar sahajalah yang mampu mengangkat martabat dan mengembalikan maruah para pemimpin hari ini. Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna kiranya masih tersisa di dlama kotak pemikiran kita sikap mementingkan diri sendiri lantaran begitu taksub hendak berkuasa higga tercabut semangat perjuangan yang sebenar.

- dipetik dan diolah dari rencana Utusan Malaysia.

Sunday, June 8, 2008

Perpaduan Melayu terendah

KUALA LUMPUR 7 Jun – Perpaduan orang Melayu kini berada pada tahap rendah kerana mereka kini tergolong dalam pelbagai organisasi yang mempunyai pandangan dan hala tuju berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keba- nyakan mereka kini lebih suka membawa haluan sendiri dan tidak memiliki hala tuju yang spesifik berbanding masyarakat Melayu terdahulu.

“Keadaan itu menyebabkan banyak organisasi di luar lingkungan kita mula melontar beberapa pandangan yang dulunya relevan tetapi kini tidak lagi relevan, umpamanya dalam soal ketuanan Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Malah, katanya, sejak kebelakangan ini terdapat banyak pihak yang mula mempertikaikan hak orang Melayu dan bumiputera walaupun perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan negara.

“Seandainya ada pihak mempertikaikan hak kita di negara ini, kita juga boleh mempersoalkan hak mereka. Tetapi ini tidak bermaksud kita menolak hak masyarakat lain yang ada di negara ini sebaliknya kita hanya mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan,” tegasnya.

Beliau berkata, semua pihak harus menghormati hak yang telah diberikan kepada mereka dan jangan sesekali mempertikaikan hak orang lain kerana ia mungkin akan menimbulkan isu perkauman.

“Kita tidak minta lebih, hanya mahu mengekalkan apa yang kita ada sahaja dan kita juga tidak mahu mengganggu hak orang lain,” ujarnya.

Ahmad Zahid juga menyeru semua pihak agar bersatu supaya dapat bersama-sama memartabatkan imej serta kebudayaan orang Melayu di negara ini.

“Sudah sampai waktunya kita bangkit dan bersatu demi memartabatkan ketuanan Melayu di tanah air kita serta mendapatkan kembali apa yang telah hilang,” tegasnya.

Thursday, June 5, 2008

Minyak Naik : Naik Minyak

Semalam seluruh Malaysia telah dikejutkan dengan satu fenomena kenderaan berbaris panjang untuk masing-masing memenuhkan tangki minyak kenderaan mereka rentetan daripada kenaikan harga minyak yang akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam tadi. Masing-masing berebut untuk mendapatkan minyak pada harga lama sebelum ia dinaikkan tanpa mengira kesesakan lalulintas yang berlaku ekoran tindakan mereka dan pada masa yang sama ia menyebabkan pengguna yang benar-benar memerlukan petrol ketika itu terkandas di dalam barisan pengguna yang sibuk memenuhkan tangki mereka.
Mulai jam 12 malam tadi, harga baru petrol telah dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada 2.70 sen seliter dan diesel dinaikkan sebanyak RM1.00 kepada RM2.58. Tidak cukup dengan bebanan itu, kerajaan sejurus selepas itu mengumumkan lagi kenaikan harga elektrik jika penggunaannya melebihi RM43. Tersuratnya seperti kerajaan tidak menaikkan terus harga elektrik bagi mengurangkan bebanan dan memastikan 'win-win situation', tetapi apa yang tersirat hakikatnya secara purata bil penggunaan elektrik bagi rumah keluarga pasti melebihi RM43 dan secara tidak langsung hampir semua rakyat akan merasai bebanan kenaikan harga elektrik. Itu belum dikira lagi kenaikan harga barang-barang keperluan lain yang juga akan dinaikkan oleh peniaga ekoran kenaikkan harga minyak. Rakyat bagai jatuh ditimpa tangga.
Bagi kerajaan, inilah kaedah terbaik yang difikirkan untuk mengurangkan bebanan kerajaan dalam pemberian subsidi minyak lantaran kenaikan harga pasaran minyak dunia. Kaedah terbaik itu adalah dengan memindahkan bebanan kerajaan tersebut kepada pengguna. Sebagai mengawal kemarahan rakyat, rebet tunai sebanyak RM625 diberikan kepada pengguna kenderaan kurang 2000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal. Wajarkah?
Saya merasakan keputusan itu tidak berapa wajar. Ternyata ada baik dan ada buruknya. Kesan baiknya bebanan kerajaan akan berkurangan dan pembangunan boleh diperbanyakkan ekoran penjimatan sebanyak hampir RM13 billion dalam subsidi minyak dan pengguna dari negara jiran tidak lagi boleh merasakan subsidi yang sebenarnya hanya diberikan untuk rakyat Malaysia. Di sebalik kebaikan itu, ada beberapa kesan negatif antaranya:
1. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak di saat rakyat kurang keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah mungkin boleh melemahkan lagi keyakinan rakyat sekaligus akan melemahkan kerajaan. Ditambah pula dengan kebijaksanaan parti pembangkang menangguk di air keruh yang akan memainkan isu ini dan akan menjadi pembela nasib rakyat bagi menawan hati rakyat.
2. Rakyat akan bertambah tertekan dengan bebanan kenaikan harga minyak dan seterusnya kenaikan harga komoditi lain yang pastinya akan naik. Kebencian rakyat terhadap kerajaan akan meningkat kerana rakyat melihat kerajaan seperti tiada inisiatif lain selain memindahkan bebanan kerajaan itu kepada rakyat. Seharusnya kerajaan membela nasib rakyat.
3. Mekanisme yang digunakan iaitu rebet tunai yang dikeluarkan melalui pejabat pos juga akan menyusahkan rakyat.
Ada beberapa pendapat berhubung isu kenaikan harga minyak ini yang ingin saya kongsikan di sini. Antaranya:
1. Kenaikkan harga minyak ini berlaku disebabkan kenaikan harga pasaran minyak dunia yang meningkat. Bukankah Malaysia adalah salah satu negara pengeluar minyak dunia dan pendapatan negara yang digunakan untuk memberi subsidi minyak datangnya dari keuntungan tersebut. Jika harga minyak dunia naik, kita sebagai pengeluar minyak juga akan menjual pada harga tinggi sekaligus mendapat keuntungan seperti sebelumnya malah mungkin berlipat kali ganda kerana kenaikan harga minyak ini berlaku bukan disebabkan kenaikan kos pengeluarannya tetapi disebabkan kebimbangan dunia terhadap jumlah bekalan yang berkurangan . Jadi, dari segi kewangan seharusnya tidak timbul bebanan kerajaan bagi pemberian subsidi minyak meningkat kerana pada masa sama kita juga menjual minyak pada harga tinggi.
2. Kerajaan menjelaskan kesan daripada penstrukturan semula pemberian subsidi minyak ini dapat menjimatkan hampir RM13 billion dan penjimatan itu boleh disalurkan untuk pembangunan negara. Persoalannya, dari segi pembangunan adakah semua rakyat akan merasa?Rasanya tidak kerana pembangunan lebih tertumpu di bandar-bandar besar dan bagi penduduk luar bandar, ini tidak adil. Tetapi jika ia digunakan untuk pemberian subsidi minyak, semua rakyat di negara ini akan merasa.
3. Ada juga yang mengatakan kenaikan ini berlaku juga disebabkan kerajaan tidak lagi mampu menampung pemberian subsidi akibat dari perlaksanaan projek-projek mega yang belum atau tidak langsung mendatangkan hasil kepada kerajaan apatah lagi kepada rakyat.
Saya tidak mengatakan pembangunan tidak penting, tetapi pada masa ini, di saat-saat harga minyak melambung tinggi, apa yang lebih penting adalah kebajikan rakyat. Mungkin pembangunan boleh dikurangkan dahulu dan penjimatan dari situ digunakan untuk membantu rakyat menangani masalah kenaikan harga minyak dunia. Bukannya menjimatkan subsidi minyak untuk meneruskan pembangunan tanpa menghiraukan bebanan rakyat. Saya juga tidak secara menyeluruh menyalahkan kerajaan. Mungkin ini adalah salah satu langkah yang diambil untuk menangani kebocoron subsidi minyak kepada rakyat asing terutamanya penyeludupan minyak yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menjual minyak bersubsidi ke luar negara. Tetapi kerajaan seharusnya memikirkan mekanisme lain yang lebih bijak jika ingin menangani masalah ini kerana dengan mengurangkan subsidi itu lebih membebankan rakyat. Mungkin harga minyak boleh dinaikkan tetapi wujudkan satu skim subsidi yang hanya boleh diperolehi rakyat negara ini sahaja.
Kesimpulannya, kenaikan harga minyak sebanyak hampir 40% ini jelas membebankan rakyat dan hampir kesemua rakyat mengeluh dan keluhan yang lebih kuat kedengaran dari mereka yang berpendapatan rendah kerana selepas ini harga barang-barang lain akan naik. Tetapi sebagai rakyat kita kena akur dengan keputusan pemimpin kita dan langkah terbaik bagi kita adalah dengan menjimatkan lagi perbelanjaan kita yang sememangnya telah jimat. Saya tertarik dengan kata-kata penulis buku 'Cara Bisnes Orang Cina', Ann Wan Seng di MHI pagi ini iaitu "untuk mendapatkan keselesaan, kita kene berbelanja lebih".

p/s : Pemimpin yang bijak akan melahirkan keputusan yang bijak untuk rakyat.