Thursday, June 5, 2008

Minyak Naik : Naik Minyak

Semalam seluruh Malaysia telah dikejutkan dengan satu fenomena kenderaan berbaris panjang untuk masing-masing memenuhkan tangki minyak kenderaan mereka rentetan daripada kenaikan harga minyak yang akan berkuatkuasa mulai jam 12 tengah malam tadi. Masing-masing berebut untuk mendapatkan minyak pada harga lama sebelum ia dinaikkan tanpa mengira kesesakan lalulintas yang berlaku ekoran tindakan mereka dan pada masa yang sama ia menyebabkan pengguna yang benar-benar memerlukan petrol ketika itu terkandas di dalam barisan pengguna yang sibuk memenuhkan tangki mereka.
Mulai jam 12 malam tadi, harga baru petrol telah dinaikkan sebanyak 78 sen seliter kepada 2.70 sen seliter dan diesel dinaikkan sebanyak RM1.00 kepada RM2.58. Tidak cukup dengan bebanan itu, kerajaan sejurus selepas itu mengumumkan lagi kenaikan harga elektrik jika penggunaannya melebihi RM43. Tersuratnya seperti kerajaan tidak menaikkan terus harga elektrik bagi mengurangkan bebanan dan memastikan 'win-win situation', tetapi apa yang tersirat hakikatnya secara purata bil penggunaan elektrik bagi rumah keluarga pasti melebihi RM43 dan secara tidak langsung hampir semua rakyat akan merasai bebanan kenaikan harga elektrik. Itu belum dikira lagi kenaikan harga barang-barang keperluan lain yang juga akan dinaikkan oleh peniaga ekoran kenaikkan harga minyak. Rakyat bagai jatuh ditimpa tangga.
Bagi kerajaan, inilah kaedah terbaik yang difikirkan untuk mengurangkan bebanan kerajaan dalam pemberian subsidi minyak lantaran kenaikan harga pasaran minyak dunia. Kaedah terbaik itu adalah dengan memindahkan bebanan kerajaan tersebut kepada pengguna. Sebagai mengawal kemarahan rakyat, rebet tunai sebanyak RM625 diberikan kepada pengguna kenderaan kurang 2000cc dan RM150 kepada pemilik motosikal. Wajarkah?
Saya merasakan keputusan itu tidak berapa wajar. Ternyata ada baik dan ada buruknya. Kesan baiknya bebanan kerajaan akan berkurangan dan pembangunan boleh diperbanyakkan ekoran penjimatan sebanyak hampir RM13 billion dalam subsidi minyak dan pengguna dari negara jiran tidak lagi boleh merasakan subsidi yang sebenarnya hanya diberikan untuk rakyat Malaysia. Di sebalik kebaikan itu, ada beberapa kesan negatif antaranya:
1. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak di saat rakyat kurang keyakinan terhadap kepimpinan Pak Lah mungkin boleh melemahkan lagi keyakinan rakyat sekaligus akan melemahkan kerajaan. Ditambah pula dengan kebijaksanaan parti pembangkang menangguk di air keruh yang akan memainkan isu ini dan akan menjadi pembela nasib rakyat bagi menawan hati rakyat.
2. Rakyat akan bertambah tertekan dengan bebanan kenaikan harga minyak dan seterusnya kenaikan harga komoditi lain yang pastinya akan naik. Kebencian rakyat terhadap kerajaan akan meningkat kerana rakyat melihat kerajaan seperti tiada inisiatif lain selain memindahkan bebanan kerajaan itu kepada rakyat. Seharusnya kerajaan membela nasib rakyat.
3. Mekanisme yang digunakan iaitu rebet tunai yang dikeluarkan melalui pejabat pos juga akan menyusahkan rakyat.
Ada beberapa pendapat berhubung isu kenaikan harga minyak ini yang ingin saya kongsikan di sini. Antaranya:
1. Kenaikkan harga minyak ini berlaku disebabkan kenaikan harga pasaran minyak dunia yang meningkat. Bukankah Malaysia adalah salah satu negara pengeluar minyak dunia dan pendapatan negara yang digunakan untuk memberi subsidi minyak datangnya dari keuntungan tersebut. Jika harga minyak dunia naik, kita sebagai pengeluar minyak juga akan menjual pada harga tinggi sekaligus mendapat keuntungan seperti sebelumnya malah mungkin berlipat kali ganda kerana kenaikan harga minyak ini berlaku bukan disebabkan kenaikan kos pengeluarannya tetapi disebabkan kebimbangan dunia terhadap jumlah bekalan yang berkurangan . Jadi, dari segi kewangan seharusnya tidak timbul bebanan kerajaan bagi pemberian subsidi minyak meningkat kerana pada masa sama kita juga menjual minyak pada harga tinggi.
2. Kerajaan menjelaskan kesan daripada penstrukturan semula pemberian subsidi minyak ini dapat menjimatkan hampir RM13 billion dan penjimatan itu boleh disalurkan untuk pembangunan negara. Persoalannya, dari segi pembangunan adakah semua rakyat akan merasa?Rasanya tidak kerana pembangunan lebih tertumpu di bandar-bandar besar dan bagi penduduk luar bandar, ini tidak adil. Tetapi jika ia digunakan untuk pemberian subsidi minyak, semua rakyat di negara ini akan merasa.
3. Ada juga yang mengatakan kenaikan ini berlaku juga disebabkan kerajaan tidak lagi mampu menampung pemberian subsidi akibat dari perlaksanaan projek-projek mega yang belum atau tidak langsung mendatangkan hasil kepada kerajaan apatah lagi kepada rakyat.
Saya tidak mengatakan pembangunan tidak penting, tetapi pada masa ini, di saat-saat harga minyak melambung tinggi, apa yang lebih penting adalah kebajikan rakyat. Mungkin pembangunan boleh dikurangkan dahulu dan penjimatan dari situ digunakan untuk membantu rakyat menangani masalah kenaikan harga minyak dunia. Bukannya menjimatkan subsidi minyak untuk meneruskan pembangunan tanpa menghiraukan bebanan rakyat. Saya juga tidak secara menyeluruh menyalahkan kerajaan. Mungkin ini adalah salah satu langkah yang diambil untuk menangani kebocoron subsidi minyak kepada rakyat asing terutamanya penyeludupan minyak yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menjual minyak bersubsidi ke luar negara. Tetapi kerajaan seharusnya memikirkan mekanisme lain yang lebih bijak jika ingin menangani masalah ini kerana dengan mengurangkan subsidi itu lebih membebankan rakyat. Mungkin harga minyak boleh dinaikkan tetapi wujudkan satu skim subsidi yang hanya boleh diperolehi rakyat negara ini sahaja.
Kesimpulannya, kenaikan harga minyak sebanyak hampir 40% ini jelas membebankan rakyat dan hampir kesemua rakyat mengeluh dan keluhan yang lebih kuat kedengaran dari mereka yang berpendapatan rendah kerana selepas ini harga barang-barang lain akan naik. Tetapi sebagai rakyat kita kena akur dengan keputusan pemimpin kita dan langkah terbaik bagi kita adalah dengan menjimatkan lagi perbelanjaan kita yang sememangnya telah jimat. Saya tertarik dengan kata-kata penulis buku 'Cara Bisnes Orang Cina', Ann Wan Seng di MHI pagi ini iaitu "untuk mendapatkan keselesaan, kita kene berbelanja lebih".

p/s : Pemimpin yang bijak akan melahirkan keputusan yang bijak untuk rakyat.

1 comment:

Anonymous said...

Minyak naik ada pros and cons nyer..