Semuanya ini hanya kerana kegelojohan dan kerakusan sesetengah pimpinan politik negara yang lebih memperhitungkan soal kuasa dan nafsu untuk menjadi pemimpin. Sememangnya kuasa yang secara fitrahnya berkait rapat dengan kepimpinan adalah isu yang cukup penting untuk dibicarakan setulusnya agar natijah yang lahir daripadanya bukan sahaja bermanfaat kepada diri sendiri tetapi yang lebih utama kepada masyarakat keseluruhannya.
Sama ada disedari ataupun tidak, kita sebenarnya sedang mengalami krisis pemikiran dan pendangkalan persepsi terhadap makna kuasa. Dalam membicarakan soal kuasa pasti ramai yang secara sepontan menanggapinya sebagai satu bentuk kemasyhuran atau tasyrif yang boleh mengangkat martabat seseorang ke satu tahap yang menyebabkannya dihormati dan disanjungi masyarakat.
Malah tidak kurang yang melihatnya sebagai lesen besar untuk memenuhi keserakahan nafsu. Akibat kedangkalan persepsi inilah kita dapati manusia bagaikan paranoid dan hilang kewarasan apabila membicarakan mengenai kuasa. Manusia seolah-olah hilang pertimbangan rasional apabila kuasa menjadi matlamat hidup, bahkan dipertuhankan sehingga tergamak menggadai prinsip dan nilai-nilai agama. Soal keberkatan harta dan halal-haram perolehan tidak lagi diperhitungkan. Semuanya kerana dikaburi dengan fatamorgana kuasa yang begitu menghayalkan. Akhirnya kuasa dan kepemimpinan tidak lagi difahami sebagai amanah dan tanggungjawab (taklif) sebaliknya satu bentuk kemuliaan (tasyrif).
Kita sebenarnya lupa atau buat-buat lupa bahawa kuasa merupakan amanah Allah atau taklif iaitu beban tanggungjawab yang akan diperhitungkan pada hari akhirat kelak. Sebab itulah sebagai amanah keagamaan, kegagalan menunaikan amanah kepimpinan boleh menatijahkan risiko hukuman ukhrawi yang berat.
Inilah yang terangkum melalui nasihat Nabi Muhammad SAW kepada Abu Dzar Al-Ghiffari berkenaan dengan konsep kuasa dan kepimpinan sebagaimana sabdanya: Sesungguhnya ia (kuasa) adalah amanah. Dan pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi yang mengambilnya sesuai dengan haknya dan melaksanakan apa yang menjadi tuntutannya. (Hadis riwayat Muslim).
Dalam hadis lain, Rasulullah juga pernah bersabda: Apabila amanah itu dilenyapkan, maka tunggulah datangnya kiamat. Ditanya kepada baginda, “Wahai Rasulullah, bagaimana melenyapkan amanah itu?” Rasulullah bersabda: Apabila amanah itu diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah datangnya kemusnahan!
Dalam tradisi kepimpinan Islam, taklif atau beban tanggungjawab kepimpinan ini sememangnya amat berat dan cukup kudus. Sebab itulah posisi kepimpinan tidak diminta-minta atau diperebutkan. Malah Rasulullah sendiri tidak pernah memberi posisi kepimpinan kepada yang meminta.
Apa yang pasti, kuasa bukannya suatu bentuk tasyrif (pangkat kebesaran) yang boleh diperdagangkan bagi tujuan kemegahan dan meraih populariti. Kuasa juga bukannya lesen yang menghalalkan segala bentuk rasuah, adu-domba dan fitnah-memfitnah sesama sendiri. Lebih menyedihkan jika kuasa berterusan menjadikan umat bergelumang dengan penyakit hasad-dengki dan benci-membenci sehingga terhakisnya kekuatan jatidiri.Dengan memahami hakikat kuasa dan makna kepemimpinan berpandukan seluruh agama yang benar sahajalah yang mampu mengangkat martabat dan mengembalikan maruah para pemimpin hari ini. Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bangsa tidak akan membawa sebarang makna kiranya masih tersisa di dlama kotak pemikiran kita sikap mementingkan diri sendiri lantaran begitu taksub hendak berkuasa higga tercabut semangat perjuangan yang sebenar.
- dipetik dan diolah dari rencana Utusan Malaysia.